Selamat Hari Ibu...Kepada Ibuku...
Mei 08, 2009
23:54
1
Disini aku ingin menyingkapkan kisah aku dengan ibuku yang aku panggil "emak". Semoga menjadi teladan kepada sesiapa yang akan dan sedang bergelar ibu.
Sejak aku dilahirkan, aku adalah insan yang paling beruntung sekali dalam dunia ini. Kerana aku sangat dimanjakan oleh emak, walaupun aku mempunyai seorang adik lagi. Mungkin kerana sebelum kelahiran aku, emak sudah kehilangan seorang anak perempuan yang lahir sebelum aku. Puncanya aku tidak berapa pasti, tetapi dari cerita adik beradik ku yang lebih tua, dia meninggal dunia akibat demam panas. Kemudahan perubatan pada waktu itu sangat terbatas.
Sejak aku dilahirkan, emak menjaga aku dengan sangat rapi. Kalau aku sakit, emak akan menjagaku sehingga aku sembuh. Kalau aku minta sesuatu, emak akan cuba tunaikan walaupun terpaksa meminta dari orang lain.
Sewaktu aku kecil, aku terlalu nakal. Degil. Tetapi aku tidak boleh berpisah dengan emak. Kalau emak pergi menoreh, dikala aku sedang tidur, emak akan cuba siapkan sebelum aku bangkit dari tidur. Pernah juga aku terjaga awal, dan bila emak tiada disisi, aku akan cari emak sampai ke kebun.
Sewaktu tadika, setiap hari emak akan menjemputku dengan menaiki basikal sejauh 2.5 kilometer. Waktu itu emak menjaga kedai kepunyaan abangku. Tetapi emak tidak pernah mengeluh. Emak tetap mengambilku. Pernah sekali emak memberikan aku duit untuk membayar yuran tadika. Tetapi aku tidak memberikannya kepada cikgu, sebaliknya aku membahagi-bahagikan wang itu dengan rakan-rakanku. Apabila emak mengetahui perkara itu, aku dimarahi. Tetapi marah emak tidak lama.
Kadangkala permintaan aku sangat melampau. Sewaktu aku berada di darjah 5, aku menyertai perkhemahan pengakap dan aku ditugaskan membawa kuali dan periuk kecil. Apabila tiba dirumah, aku memberitahu emak. Dan emak memberikan kuali dan periuk yang buruk. Aku memberontak. Meminta emak membelikan yang baru, yang lebih cantik. Emak terpaksa membeli di pekan, bersama abah. Aku tahu permintaan aku waktu itu sangat berat. Tetapi aku tidak memikirkannya, mungkin aku masih kecil lagi.
Aku dimasukkan ke asrama sewaktu sekolah menengah. Dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 5. Setiap hujung minggu aku lihat rakan-rakanku bersama-sama dengan keluarga, menikmati hari cuti. Tapi aku keseorangan. Pernah aku meminta emak datang menjenguk di asrama. Emak memberitahuku tentang kesusahan menaiki bas untuk ke sekolahku. Aku memaksa emak datang juga. Akhirnya emak menyewa kereta orang kampung untuk menunaikan permintaanku. Tetapi hanya untuk setengah hari yang aku rasa tiada apa-apa makna. Terlalu besar pengorbanan emak.
Emak juga selalu menangis. Menangis dengan sikapku, perbuatanku. Sewaktu di tingkatan 3 dan 4, aku ditangkap merokok di kawasan sekolah. Warden asrama terpaksa memberitahu keluargaku dan emak menangis. Emak datang ke sekolah. Emak masih menangis. Waktu itu aku tidak serik. Aku tidak mempunyai perasaan untuk berubah. Demi emak. Abah tidak mempamerkan perasaan sedih waktu itu, tetapi aku dapat rasakan. Cuma aku yang tidak mempunyai perasaan.
Selepas SPM, aku mendapat tawaran dari sebuah kolej di utara. Waktu itu aku baru aku sedar, kerana aku telah dinasihatkan oleh kakakku yang sulung. Sepanjang aku berada di sana, aku sentiasa menelefon emak, tetapi tidak pernah meminta emak datang. Segala urusan hanya melalui kakakku yang sulung yang tinggal berdekatan dengan kolej tempat aku belajar. Sehingga aku tamat, emak tidak pernah datang. Aku pun tahu, kos perjalanan agak tinggi, dan emak pun semakin dimamah usia.
Tawaran melanjutkan pengajian di sebuah universiti di selatan tanahair, membuatkan aku gembira. Dan emak lebih gembira dariku. Emak telah mengadakan kenduri kesyukuran di atas tawaran itu. Terima kasih emak. Aku telah berjaya sekarang. Terima kasih emak.
Sewaktu abah sakit, emaklah yang menjaga abah. Aku sebagai anak cuma melihat. Bodohnya aku. Sepatutnya itu tanggungjawab aku. Maafkan aku emak. Sehingga abah meninggal dunia, emak masih tabah. Walaupun sedih, emak tetap tabah. emak tetap meneruskan tugasnya di rumah. Aku tahu emak masih bersedih atas pemergian abah, insan yang bersama-sama emak membesarkan anak-anak sehingga berjaya. Tapi emak tetap tabah.
Sempena hari ibu, aku ingin meminta maaf dari emak. Maafkan aku emak. Aku tidak layak untuk disayangi emak. Terlalu banyak kesalahanku pada emak. Aku sangat menyesal. Aku sayangkan emak. Aku sayangkan arwah abah. Aku ingin menebus kesilapan yang lalu, aku ingin berbakti kepada emak. Aku tidak pernah memikirkan kesengsaraan emak menjagaku, dari aku kecil sehingga dewasa. Maafkan aku emak. Kadangkala aku melampaui batas, aku berdosa kepada emak, aku berdosa. Aku berdoa semoga emak dan arwah abah sentiasa berada di kedudukan teristimewa disisi Allah.
Selamat menyambut Hari Ibu...buat emakku Supinah...
"Sesungguhnya Syurga itu terletak di bawah telapak kaki Ibu"
~Sniper~
jangan nakal2 lg tau lps nh...kne jdk seorg ank n bakal suami yg soleh...