Powered By Blogger

Pagi Yang Indah


0

Pagi itu, hati Jumaat, aku bangun awal. Tidak seperti kebiasaannya, aku akan keluar rumah lewat sedikit. Tetapi pagi itu aku keluar lebih awal untuk menghirup udara nyaman di halaman rumah sebelum memulakan langkah ke tempat kerja. Dan tiba-tiba mataku memandang langit di sebelah timur. Satu pemandangan yang indah, cantik dan jarang berlaku di hadapanku.

Aku sempat mengambil kamera dan menangkap gambar indah itu.

Lihatlah garisan yang terbentuk pada langit...indahnya...


~Branco~

Ngelencer - Makna di sebaliknya


0

Ngelencer - jalan-jalan (bahasa jawa)

Dan kisah ngelencer ini akan bermula tidak lama lagi. Berpandukan kepada pengalaman penulis dan daya ingatannya yang kuat.

~Branco~

Aku Diancam H1N1??


2

Hari ini agak malas nak pergi kerja. Bangun tidur jam 0830, itu pun kakak minta aku hantar sebungkus cawan plastik untuk jualan hari terbuka sekolahnya. Aku bangkit agak malas. Ambil tuala dan hidupkan shower heater. Sejuk. Batuk ku tiba-tiba menjadi-jadi. Aku muntah di bilik air. Sakit.

Sebenarnya aku mengalami sakit ini 10 hari yang lepas. Aku hanya minta ubat dari seorang staf yang menjaga klinik di tempat kerja. Sakit yang dialami hanya selsema kuat dan juga batuk. Aku hanya mampu tidur pada hari itu. Kerja terpaksa ditinggalkan demi menjadikan diri ini sihat.

Selang dua hari, sakit semakin kuat. Aku ambil keputusan berjumpa doktor di sebuah klinik swasta yang terletak berhampiran rumah. Hanya memberitahu doktor, batuk tidak berkahak, selsema kuat dan demam ringan. Doktor menyediakan perskrepsi yang bersesuaian, dan aku meminta cuti sakit selama dua hari. Harap-harap kebah.

Sabtu dan ahad aku melakukan aktiviti seperti biasa, tetapi batuk dan selsema masih ada. Tidak la seteruk hari pertama. Dan bila malam menjelma, aku mengalami batuk yang sangat kuat. Sampaikan tidur terganggu. Dan sekali lagi aku mengambil cuti separuh hari pada hari isnin. Masih selsema dan batuk, ditambah dengan kahak yang berlendir.

Hari ini, selepas mandi, aku terfikir untuk membuat pemeriksaan di hospital. Hantas cawan-cawan ke sekolah dahulu. Kemudian aku menghala ke tempat kerja, tetapi singgah sebentar di hospital. Aku ingin membuat pemeriksaan lanjut, mana tahu dijangkiti wabak yang sangat popular sekarang.

Ekspresi diri sewaktu sampai di hospital, ataupun dikenali sebagai klinik komuniti Maharani, terletak bersebelahan HPSF, canggih dan mengagumkan. Masuk dan daftarkan diri, minta diperiksa suhu badan. Aku ke kaunter khas untuk memeriksa suhu badan, 35.6 darjah celcius. Biasa saja. Pergi ke kaunter pendaftaran semula. Ambil nombor, dapat nombor pantas. Proses sehingga ambil nombor hanya mengabil masa selama 15 minit.

Pergi ke bilik doktor, tunggu nombor dipanggil. Selang 20 minit, aku dipanggil. Masuk ke bilik doktor dan ditanya sejak bila demam. Aku memberitahu minggu lepas. Batuk? Pun sama. Selsema? Sama juga. Kemudian aku diarahkan menjalani ujian pemeriksaan darah. Darah diambil di kaunter lain. Kemudian sampel darah dihantar ke kaunter pengujian darah, dan selepas 3 minit menunggu, nama dipanggil. keputusan darah sudah keluar. Proses mengambil ujian darah hanya 10 minit. Sangat pantas.

Jumpa doktor semula. Doktor memberikan senarai ubat yang perlu diambil di farmasi. Aku hanya sempat bertanya adakah aku dijangkiti. Tidak. Bersyukur. Aku keluar dan mengambil giliran untuk ubatan. Proses agak lama kerana kaunter farmasi hanya mempunyai seorang pembantu perubatan. 30 minit menunggu. Dalam masa menunggu, aku lihat seorang nenek tua yang hanya mampu duduk di kerusi roda, dan ditolak oleh cucunya. Gilirannya lebih lama, dan rasa kasihan timbul.

Aku masih bertanya dalam hati, kenapa cucunya tidak memberitahu kepada pembantu perubatan farmasi untuk menyegerakan penyediaan ubat untuk neneknya. Sedangkan warga tua akan diberi layanan utama. Aku tidak sempat memberitahu, aku harap ada orang lain yang dapat membantu nenek itu. Sampai giliranku, terus ambil ubat dan bergerak meninggalkan klinik.

Hari ini aku dapat lihat, perubahan kepada sistem pengurusan hospital/klinik kerajaan yang semakin baik. Tetapi agak terkilan kerana tidak seorang pun antara jururawat-jururawat di sana yang mengambil peduli tentang nenek tadi. Aku juga terkilan tidak dapat menolong nenek itu. Sangat kasihan. Dan dimasa akan datang, aku harap dapat memberanikan diri menolong orang-orang yang tergolong dalam kurang upaya, seperti warga tua, orang cacat dan sebagainya.

Dan hari ini, terpaksa bekerja separuh hari lagi.

~Branco~

Mental Tergugat Ramai Hilang


2

Alkisahnya apabila syarikat telah berjanji tidak akan menaikkan gaji dan membayar bonus, maka berduyun-duyun pekerja bertindak berhenti kerja, mencari peluang yang lebih baik atau menjadi suri rumah sepenuh masa. Kalau mendapat peluang yang lebih baik, adakah tempat kerja yang baru lebih baik? Bersesuaian atau tidak kerja yang dilakukan? Adakah rakan sekerja bersosial seperti tempat yang terdahulu?

Kalau difikirkan, memang susah untuk bertukar kerja. Akan tetapi sampai bila kita nak memajukan diri sendiri? Memang bagus kalau kita tetap pada satu kerja, akan tetapi kalau kerja itu kita yang jadi pengarah, bos, CEO dan sebagainya. Kalau setakat jadi kuli bawahan yang makan gaji, lebih baik cari peluang diluar yang mampu dipikul. Peluang yang memungkinkan kita menjadi seorang yang tabah, bersabar, sayang pada kerja, tidak tertekan kerana kerja dan boleh menampung kehidupan keluarga kita.

Suri rumah, lelaki pun boleh menjadi suri rumah. Macam cerita Mr. Mama. Suami tinggal di rumah sedangkan isteri bekerja di pejabat. Zaman sekarang tak kira suami yang kerja atau isteri yang kerja, asalkan dapat makan tiap-tiap hari. Tetapi tanggungjawab mencari rezeki utama dalam keluarga terletak atas suami, dan isteri hanya sekadar membantu meringankan beban suami. Bukan suami kerja separuh mati, isteri kerja gaji tak dikongsi.

Dan aku menulis blog ini kerana ramai rakan-rakanku hilang dari pandangan di tempat kerja. Mental!!!

~Branco~

Malas melanda!!!


0

Hari ini buat kesekian kalinya aku separuh hari kerja.
Malasnya, badan penat, selesema, batuk, sakit tekak.
Datang pun sebab cuti dah habis.
Kerja pun berlambak lagi nak siapkan.
Tapi malas tetap malas, tak boleh nak dirajinkan sebab semangat dah tak kuat.

~Branco~

[KLM] Terpandang dan Terkenang


0

Sabtu yang lalu, sempena menyambut Tengku Mahkota Johor datang ke UTM, aku berada di sebuah kolej yang terletak berhampiran stesen servis Shell dan restoran makanan segera McDonald's. Di bangunan pentadbiran kolej, aku terpandang huruf-huruf yang ku kenali dahulu iaitu K, L dan M.

Terdetik dalam hati, aku berbangga pernah menjadi sebahagian daripada pencorak KLM ini. Tetapi aku agak kecewa kerana aku tidak dapat meneruskan komitmen aku dalam meneruskan visi dan misi KLM sehingga aku tamat pengajian. Sehinggakan aku tidak dapat mengenali pemikir-pemikir baru yang menjadikan KLM lebih maju dan dikenali ramai.

Dan disaat aku merenung muka-muka gagah yang terpampang di papan kenyataan tersebut, aku cuba mengingati salah seorang dari mereka. Ternyata aku tidak dapat mengenali seorang pun. Aku sangat malu kepada diriku sedangkan dari sinilah aku belajar mendidik anak-anak sekolah, menghormati yang tua dan menyumbang masa dan keringat tanpa memikirkan tentang wang ringgit, merapatkan diri kepada insan yang dianggap tidak berdaya, menaikkan motivasi dan sebagainya.

Aku cuba menipu diriku tetapi aku tidak berdaya. Diriku hanya mampu mengiyakan sedangkan hakikatnya aku bukan pencorak yang berjaya membawa huruf-huruf ini ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Ada yang masih tidak mengenali diriku, sewaktu aku menjadi pengacau program bersama Tadika Ihsan (waktu itu aku datang bukan sebagai ahli kelab, tetapi terserempak sahaja). Aku tak kisah kerana mungkin peninggalanku ke kolej lain telah memudarkan memori dan diriku dari menjadi sebahagian keluarga ini.

Akhirnya, aku berlalu pergi dengan meninggalkan sebahagian diriku yang masih bersama KLM di papan kenyataan itu. Apa yang aku pelajari semasa di KLM akan ku terapkan dalam kehidupan seharianku. Mungkin aku akan ceritakn beberapa pengalamanku bersama KLM di lain masa.

~Branco~

Cerita Tentang Abah...


2

Di hening subuh, hari sabtu, aku mendapat panggilan dari adikku Ina.

"Jan, abah masuk hospital. Bila nak balik?" kata adikku.

"Kejap lagi. Nak siap-siap dulu. Abah kat hospital mana?" balasku sambil mengeliat.

"Tangkak" jawab Ina ringkas.

Aku pun terus bergegas bangun dan bersiap untuk bertolak pulang ke kampung. Sambil melayan lagu irama pop yang terkeluar dari corong speaker radio kereta, aku pun teringatkan waktu semalam semasa aku hendak bertolak. Abah masih boleh berjalan, tetapi keadaannya sudah tidak bermaya. Aku bersalam dan mencium tangan abah, cium tangan emak, minta beritahu kalau-kalau terjadi apa-apa pada abah.

Fikiranku masih menerawang ke masa silam. Sewaktu abah sihat, masih boleh melakukan aktiviti harian, menoreh dan berkebun. Aku dapat lihat abah gigih bekerja demi menyara kami adik beradik. Mak juga membantu abah menguruskan kebun getah di belakang rumah. Abah juga tidak lupa menunaikan tanggungjawab menjaga rumah pusaka Embah yang teletak di seberang jalan berhadapan rumah. Abah masih tidak lupa untuk menjalankan tugas sebagai bilal di surau pada setiap waktu solat.

Ketika aku sampai di rumah, hanya kakakku Kak Yati bersama anak-anaknya berada di rumah.
Aku hanya sempat berborak dengan kak yati di dapur. Itupun hanya seminit dua kerana aku ingin melawat abah di hospital. Aku memandu seorang diri menuju ke hospital, ketika itu jam 4 petang. Setibanya di sana, aku menelefon emak dan bertanyakan di wad berapa abah ditempatkan. Mak tidak menjawab panggilan, dan aku terus menghubungi abangku.

Setelah selesai mengetahui tempat, aku bergegas mencarinya. Dan sebaik saja aku berdiri di pintu wad, aku terpandang sebujur jasad yang gering, dan aku tahu itu abah. Aku datang kepada abah dan bertanyakan keadaan abah. Abah mengalami sesak nafas dan kepayahan membuang air kecil. Ku lihat emak berjalan longlai, baru menunaikan solat asar. Aku lihat abah mengalami kesukaran bernafas, dan emak menyarankan aku mengurut dada abah supaya lancar pernafasan.

Emak memintaku menjaga abah sementara emak mengikut abangku balik ke rumahnya untuk bersiap-siap kerana malam itu emak akan tidur di wad. Aku mengambil alih tugas emak buat sementara. Abah meminta dan aku turuti. Aku tak dapat pastikan pada waktu itu apa perasaan aku. Aku sedih melihat keadaan abah yang semakin susut. Aku lihat kepayahan abah untuk bernafas, dan aku hanya menolong sekali-sekala. Tidak seperti waktu aku kecil dahulu, abah sering menghantarku ke sekolah. Balik berjemput menaiki motor kesayangan abah. Tetapi waktu itu aku tidak tahu nak buat apa. Hanya bertanyakan apa kehendak abah. Aku turuti.

Setelah emak tiba, aku minta diri untuk pulang ke rumah. Aku cium tangan abah, cium tangan emak dan terus pulang. Malam itu tidurku tidak nyenyak. Hanya terfikirkan tentang abah di hospital bersama emak. Dan esoknya aku sekali lagi datang menggantikan tempat emak pada waktu pagi sehingga tengahari. Emak berehat sekejap di rumah abangku. Aku bergilir-gilr bersama abangku menjaga abah. Dan tidak lama kemudian, kakakku yang sulung, Kak Yah tiba bersama suaminya. Aku hanya melihat dari jauh sewaktu kak yah berbual dengan abah.

Dan petang ahad itu juga, abah mendapat kebenaran berpindah ke hospital Muar yang mempunyai peralatan yang lebih canggih. Kak yah sebagai kakak yang sulung bersetuju. Mak menaiki ambulans sedangkan aku mengikut dari belakang. Setibanya di hospital Muar, tidak ada tempat untuk abah, dan terpaksa ditempatkan di katil tambahan sementara menunggu pesakit lain keluar.

Sewaktu doktor merawat abah, tiba-tiba abah bangun dan ingin mengambil air sembahyang. Aku agak terkejut dan doktor terpaksa menahan abah dari turun. Abah masih berkeras, dan aku dapat rasakan yang abah masih lagi teringatkan kewajipan sebagai seorang muslim walaupun sedang sakit. Dan emak mengambil air minuman, mewudhu'kan abah. Abah bersolat asar sebentar, dan aku tidak tahu itulah solat yang terakhir.

Selesai doktor membuat pemeriksaan, dan abah sekali lagi dipindahkan ke wad CCU. Dan kali ini keadaan abah lebih serius. Aku hanya sempat menghantar abah sehingga pintu masuk wad kerana dihadkan hanya seorang saja boleh mengikuti. Aku gagahkan juga, menceroboh masuk dan terus menuju ke katil abah. Dan pabila doktor ingin menjalankan rawatan, dimana doktor terpaksa menidurkan abah, abah meronta. Aku menenangkan abah, tetapi abah sudah tidak mengenali sesiapa. Abah hanya mendengus dan baring semula.

Bila abah dipengsankan, aku menunggu bersama emak sehingga tengah malam. Kakak-kakakku datang melawat abah tetapi tidak dapat bercakap dengan abah. Aku adalah orang terakhir yang dapat bercakap dengan abah. Malam itu emak dan abangku tidur di surau hospital. Aku masih menunggu abah sehingga jam 4 pagi. Aku meminta kebenaran dari abangku untuk pulang ke rumah.

Pagi itu aku bangun agak lewat. Jam 10 pagi. Yang lain sudah berada di hospital. Emak baru pulang bersama abangku. Aku bertolak ke hospital agak lambat sedikit kerana aku sangka ingin bekerja. Dalam perjalanan, kakakku yang kelima, Kak Idah menelefon,

"Ijan, dah dampai mana?" dengan nada sedih.

"Baru sampai Rawang" balasku.

"Ijan, abah dah tak ada. Dah meninggal" kata kak sidah.

Waktu itu aku terkedu, fikiranku melayang ke hospital. Hatiku dah lama berada di sisi arwah abah, sedangkan jasadku masih lagi memandu. Aku senyap, tidak berkata sepatah pun dengan anak-anak buahku. Setibanya di hospital, aku terus menghampiri sebujur jasad yang sudah tidak bernyawa. Aku cuba membaca Surah Yasin, tetapi hatiku tidak kuat menghadapi dugaan ini. Belum sempat aku menghabiskan bacaanku, air mataku jatuh. Aku tidak sanggup lagi menatap jasad abah ketika itu.

Aku keluar dan mendapatkan kak yah. Arwah abah mesti diuruskan hari ini juga. Dan kami menguruskan segala yang berkaitan dengan kematian. Bila aku tiba di rumah, aku lihat emak lemah longlai, dan apabila jasad abah tiba, emak terus lemah, terpaksa dipapah oleh makcikku. Aku lihat ramai penduduk kampung yang datang. Selesai memandikan, jasad abah dikafankan. Dan bila waktu mengucup dahi abah, aku menitiskan air mata lagi. Tak sanggup melihat abah dalam keadaan begitu. Aku terus keluar, pakcikku menenangkan aku. Katanya setiap yang pergi takkan kembali. Kita yang hidup ini perlu teruskan, jangan lupa mendoakan yang telah tiada.

Dan waktu berada di tanah perkuburan, aku sudah dapat menahan diri. Aku berpegang pada kata-kata pakcikku tadi. Selesai di tanah perkuburan, aku pulang dan bersama-sama ahli keluargaku yang lain mengadakan kenduri arwah.

Inilah cerita yang masih aku ingat sampai sekarang, dan takkan aku lupakan sampai bila-bila. Semoga roh abah dicucuri rahmat dari Yang Esa. Aminn...

Tukar Angin...Branco??


2

Rasanya macam dah lama sangat tak update blog ni.
Tahap kemalasan yang teramat sangat.

Kenapa nak tukar angin??
Sebab nak jadikan blog ni penuh dengan bahasa melayu.
Kalau ada bahasa omputeh sikit-sikit je.
Tu yang tukar dari Sniper never sleep ke Branco dan Sebenarnya.

Kalau nak tahu branco ni adalah nama grup masa di KLM dulu.
So sesiapa yang termasuk dalam grup ni dia tahu la.

Dah malas nak update lagi.
So aktiviti lepas ni mencetak dan menampal.

~Branco~