Cerita Tentang Abah...
Jun 18, 2009
02:17
2
Di hening subuh, hari sabtu, aku mendapat panggilan dari adikku Ina.
"Jan, abah masuk hospital. Bila nak balik?" kata adikku.
"Kejap lagi. Nak siap-siap dulu. Abah kat hospital mana?" balasku sambil mengeliat.
"Tangkak" jawab Ina ringkas.
Aku pun terus bergegas bangun dan bersiap untuk bertolak pulang ke kampung. Sambil melayan lagu irama pop yang terkeluar dari corong speaker radio kereta, aku pun teringatkan waktu semalam semasa aku hendak bertolak. Abah masih boleh berjalan, tetapi keadaannya sudah tidak bermaya. Aku bersalam dan mencium tangan abah, cium tangan emak, minta beritahu kalau-kalau terjadi apa-apa pada abah.
Fikiranku masih menerawang ke masa silam. Sewaktu abah sihat, masih boleh melakukan aktiviti harian, menoreh dan berkebun. Aku dapat lihat abah gigih bekerja demi menyara kami adik beradik. Mak juga membantu abah menguruskan kebun getah di belakang rumah. Abah juga tidak lupa menunaikan tanggungjawab menjaga rumah pusaka Embah yang teletak di seberang jalan berhadapan rumah. Abah masih tidak lupa untuk menjalankan tugas sebagai bilal di surau pada setiap waktu solat.
Ketika aku sampai di rumah, hanya kakakku Kak Yati bersama anak-anaknya berada di rumah.
Aku hanya sempat berborak dengan kak yati di dapur. Itupun hanya seminit dua kerana aku ingin melawat abah di hospital. Aku memandu seorang diri menuju ke hospital, ketika itu jam 4 petang. Setibanya di sana, aku menelefon emak dan bertanyakan di wad berapa abah ditempatkan. Mak tidak menjawab panggilan, dan aku terus menghubungi abangku.
Setelah selesai mengetahui tempat, aku bergegas mencarinya. Dan sebaik saja aku berdiri di pintu wad, aku terpandang sebujur jasad yang gering, dan aku tahu itu abah. Aku datang kepada abah dan bertanyakan keadaan abah. Abah mengalami sesak nafas dan kepayahan membuang air kecil. Ku lihat emak berjalan longlai, baru menunaikan solat asar. Aku lihat abah mengalami kesukaran bernafas, dan emak menyarankan aku mengurut dada abah supaya lancar pernafasan.
Emak memintaku menjaga abah sementara emak mengikut abangku balik ke rumahnya untuk bersiap-siap kerana malam itu emak akan tidur di wad. Aku mengambil alih tugas emak buat sementara. Abah meminta dan aku turuti. Aku tak dapat pastikan pada waktu itu apa perasaan aku. Aku sedih melihat keadaan abah yang semakin susut. Aku lihat kepayahan abah untuk bernafas, dan aku hanya menolong sekali-sekala. Tidak seperti waktu aku kecil dahulu, abah sering menghantarku ke sekolah. Balik berjemput menaiki motor kesayangan abah. Tetapi waktu itu aku tidak tahu nak buat apa. Hanya bertanyakan apa kehendak abah. Aku turuti.
Setelah emak tiba, aku minta diri untuk pulang ke rumah. Aku cium tangan abah, cium tangan emak dan terus pulang. Malam itu tidurku tidak nyenyak. Hanya terfikirkan tentang abah di hospital bersama emak. Dan esoknya aku sekali lagi datang menggantikan tempat emak pada waktu pagi sehingga tengahari. Emak berehat sekejap di rumah abangku. Aku bergilir-gilr bersama abangku menjaga abah. Dan tidak lama kemudian, kakakku yang sulung, Kak Yah tiba bersama suaminya. Aku hanya melihat dari jauh sewaktu kak yah berbual dengan abah.
Dan petang ahad itu juga, abah mendapat kebenaran berpindah ke hospital Muar yang mempunyai peralatan yang lebih canggih. Kak yah sebagai kakak yang sulung bersetuju. Mak menaiki ambulans sedangkan aku mengikut dari belakang. Setibanya di hospital Muar, tidak ada tempat untuk abah, dan terpaksa ditempatkan di katil tambahan sementara menunggu pesakit lain keluar.
Sewaktu doktor merawat abah, tiba-tiba abah bangun dan ingin mengambil air sembahyang. Aku agak terkejut dan doktor terpaksa menahan abah dari turun. Abah masih berkeras, dan aku dapat rasakan yang abah masih lagi teringatkan kewajipan sebagai seorang muslim walaupun sedang sakit. Dan emak mengambil air minuman, mewudhu'kan abah. Abah bersolat asar sebentar, dan aku tidak tahu itulah solat yang terakhir.
Selesai doktor membuat pemeriksaan, dan abah sekali lagi dipindahkan ke wad CCU. Dan kali ini keadaan abah lebih serius. Aku hanya sempat menghantar abah sehingga pintu masuk wad kerana dihadkan hanya seorang saja boleh mengikuti. Aku gagahkan juga, menceroboh masuk dan terus menuju ke katil abah. Dan pabila doktor ingin menjalankan rawatan, dimana doktor terpaksa menidurkan abah, abah meronta. Aku menenangkan abah, tetapi abah sudah tidak mengenali sesiapa. Abah hanya mendengus dan baring semula.
Bila abah dipengsankan, aku menunggu bersama emak sehingga tengah malam. Kakak-kakakku datang melawat abah tetapi tidak dapat bercakap dengan abah. Aku adalah orang terakhir yang dapat bercakap dengan abah. Malam itu emak dan abangku tidur di surau hospital. Aku masih menunggu abah sehingga jam 4 pagi. Aku meminta kebenaran dari abangku untuk pulang ke rumah.
Pagi itu aku bangun agak lewat. Jam 10 pagi. Yang lain sudah berada di hospital. Emak baru pulang bersama abangku. Aku bertolak ke hospital agak lambat sedikit kerana aku sangka ingin bekerja. Dalam perjalanan, kakakku yang kelima, Kak Idah menelefon,
"Ijan, dah dampai mana?" dengan nada sedih.
"Baru sampai Rawang" balasku.
"Ijan, abah dah tak ada. Dah meninggal" kata kak sidah.
Waktu itu aku terkedu, fikiranku melayang ke hospital. Hatiku dah lama berada di sisi arwah abah, sedangkan jasadku masih lagi memandu. Aku senyap, tidak berkata sepatah pun dengan anak-anak buahku. Setibanya di hospital, aku terus menghampiri sebujur jasad yang sudah tidak bernyawa. Aku cuba membaca Surah Yasin, tetapi hatiku tidak kuat menghadapi dugaan ini. Belum sempat aku menghabiskan bacaanku, air mataku jatuh. Aku tidak sanggup lagi menatap jasad abah ketika itu.
Aku keluar dan mendapatkan kak yah. Arwah abah mesti diuruskan hari ini juga. Dan kami menguruskan segala yang berkaitan dengan kematian. Bila aku tiba di rumah, aku lihat emak lemah longlai, dan apabila jasad abah tiba, emak terus lemah, terpaksa dipapah oleh makcikku. Aku lihat ramai penduduk kampung yang datang. Selesai memandikan, jasad abah dikafankan. Dan bila waktu mengucup dahi abah, aku menitiskan air mata lagi. Tak sanggup melihat abah dalam keadaan begitu. Aku terus keluar, pakcikku menenangkan aku. Katanya setiap yang pergi takkan kembali. Kita yang hidup ini perlu teruskan, jangan lupa mendoakan yang telah tiada.
Dan waktu berada di tanah perkuburan, aku sudah dapat menahan diri. Aku berpegang pada kata-kata pakcikku tadi. Selesai di tanah perkuburan, aku pulang dan bersama-sama ahli keluargaku yang lain mengadakan kenduri arwah.
Inilah cerita yang masih aku ingat sampai sekarang, dan takkan aku lupakan sampai bila-bila. Semoga roh abah dicucuri rahmat dari Yang Esa. Aminn...
Encik Moyes,
Takziah. Ini cerita bila terjadi?
Sebab masuk hospital?
tahun lepas. 18hb ogos. waktu tu tak sangka sangat sedangkan dua hari sebelum tu abah masih lagi boleh berjalan.
sakit dah tua kot. tapi ikut doktor ada komplikasi dengan jantung. abah seorang perokok tapi dah 6 bulan berenti. umur abah pun dah tua waktu meninggal dunia, 72 thn.