Aku Diancam H1N1??
Jun 26, 2009
01:04
2
Hari ini agak malas nak pergi kerja. Bangun tidur jam 0830, itu pun kakak minta aku hantar sebungkus cawan plastik untuk jualan hari terbuka sekolahnya. Aku bangkit agak malas. Ambil tuala dan hidupkan shower heater. Sejuk. Batuk ku tiba-tiba menjadi-jadi. Aku muntah di bilik air. Sakit.
Sebenarnya aku mengalami sakit ini 10 hari yang lepas. Aku hanya minta ubat dari seorang staf yang menjaga klinik di tempat kerja. Sakit yang dialami hanya selsema kuat dan juga batuk. Aku hanya mampu tidur pada hari itu. Kerja terpaksa ditinggalkan demi menjadikan diri ini sihat.
Selang dua hari, sakit semakin kuat. Aku ambil keputusan berjumpa doktor di sebuah klinik swasta yang terletak berhampiran rumah. Hanya memberitahu doktor, batuk tidak berkahak, selsema kuat dan demam ringan. Doktor menyediakan perskrepsi yang bersesuaian, dan aku meminta cuti sakit selama dua hari. Harap-harap kebah.
Sabtu dan ahad aku melakukan aktiviti seperti biasa, tetapi batuk dan selsema masih ada. Tidak la seteruk hari pertama. Dan bila malam menjelma, aku mengalami batuk yang sangat kuat. Sampaikan tidur terganggu. Dan sekali lagi aku mengambil cuti separuh hari pada hari isnin. Masih selsema dan batuk, ditambah dengan kahak yang berlendir.
Hari ini, selepas mandi, aku terfikir untuk membuat pemeriksaan di hospital. Hantas cawan-cawan ke sekolah dahulu. Kemudian aku menghala ke tempat kerja, tetapi singgah sebentar di hospital. Aku ingin membuat pemeriksaan lanjut, mana tahu dijangkiti wabak yang sangat popular sekarang.
Ekspresi diri sewaktu sampai di hospital, ataupun dikenali sebagai klinik komuniti Maharani, terletak bersebelahan HPSF, canggih dan mengagumkan. Masuk dan daftarkan diri, minta diperiksa suhu badan. Aku ke kaunter khas untuk memeriksa suhu badan, 35.6 darjah celcius. Biasa saja. Pergi ke kaunter pendaftaran semula. Ambil nombor, dapat nombor pantas. Proses sehingga ambil nombor hanya mengabil masa selama 15 minit.
Pergi ke bilik doktor, tunggu nombor dipanggil. Selang 20 minit, aku dipanggil. Masuk ke bilik doktor dan ditanya sejak bila demam. Aku memberitahu minggu lepas. Batuk? Pun sama. Selsema? Sama juga. Kemudian aku diarahkan menjalani ujian pemeriksaan darah. Darah diambil di kaunter lain. Kemudian sampel darah dihantar ke kaunter pengujian darah, dan selepas 3 minit menunggu, nama dipanggil. keputusan darah sudah keluar. Proses mengambil ujian darah hanya 10 minit. Sangat pantas.
Jumpa doktor semula. Doktor memberikan senarai ubat yang perlu diambil di farmasi. Aku hanya sempat bertanya adakah aku dijangkiti. Tidak. Bersyukur. Aku keluar dan mengambil giliran untuk ubatan. Proses agak lama kerana kaunter farmasi hanya mempunyai seorang pembantu perubatan. 30 minit menunggu. Dalam masa menunggu, aku lihat seorang nenek tua yang hanya mampu duduk di kerusi roda, dan ditolak oleh cucunya. Gilirannya lebih lama, dan rasa kasihan timbul.
Aku masih bertanya dalam hati, kenapa cucunya tidak memberitahu kepada pembantu perubatan farmasi untuk menyegerakan penyediaan ubat untuk neneknya. Sedangkan warga tua akan diberi layanan utama. Aku tidak sempat memberitahu, aku harap ada orang lain yang dapat membantu nenek itu. Sampai giliranku, terus ambil ubat dan bergerak meninggalkan klinik.
Hari ini aku dapat lihat, perubahan kepada sistem pengurusan hospital/klinik kerajaan yang semakin baik. Tetapi agak terkilan kerana tidak seorang pun antara jururawat-jururawat di sana yang mengambil peduli tentang nenek tadi. Aku juga terkilan tidak dapat menolong nenek itu. Sangat kasihan. Dan dimasa akan datang, aku harap dapat memberanikan diri menolong orang-orang yang tergolong dalam kurang upaya, seperti warga tua, orang cacat dan sebagainya.
Dan hari ini, terpaksa bekerja separuh hari lagi.
~Branco~
Kurang merokok kurang la batuk. Berenti terus pon takpe.
Betul tu..dah kurangkan tapi makin menjadi-jadi. nak berenti terus la ni..