Powered By Blogger

Mula Berjoging


2

Badan dah terasa berat. Jadi untuk menjadikan bentuk badan aku ideal seperti tiga tahun yang lepas, maka aku bertekad nak berjoging setiap hari.

Hari ini dah masuk hari ketiga aku berjoging.

Penat tak terkata.

Hari pertama dapat lari dua pusingan taman, lokasi di Tangkak. Masa 7.00 pagi waktu Malaysia Barat.

Hari kedua dapat buat jauh sikit. Lokasi di Tanjung Ketapang, Muar. Selepas waktu kerja.

Hari ini di tempat yang sama, Tanjung Ketapang. Dan kali ini berjaya meningkatkan jarak larian sambil berlagak macho.

Dan esok akan aku teruskan usaha aku ini.

Hasilnya akan diketahui dalam masa beberapa minggu lagi.

~Branco~

Hari ini ke United Kingdom


0

Perjalanan hari itu sangat indah. Aku tiba di Lapangan Terbang Heathrow dengan senyuman manis. Perjalanan di dalam pesawat Airbus Malaysia Airlines sangat mengujakan. Layanan yang diberikan oleh pramugari-pramugari sangat dihargai. Patutlah Malaysia Airlines pernah mendapat anugerah hospitaliti satu masa dahulu.

Setibanya di kawasan pemeriksaan, aku melontarkan senyuman kepada setiap pekerja di situ. Aku melepasi kawasan pemeriksaan dengan mudah, tanpa pemeriksaan yang rapi, tidak perlu membuka seluruh pakaianku. Dan setiap pertanyaan dijawab dengan mudah. Aku terus menuju ke pintu ketibaan dengan harapan dapat bertemu sesiapa yang boleh menjadi pemandu pelancongku. Aku melalui beberapa kedai bebas cukai, hanya sempat melihat, kerana tugasku lebih penting di kota London.

Perjalananku kali ini atas sebab perniagaan. Orang atasanku menugaskan aku untuk mencari barang-barang untuk syarikatku menjalankan projek yang baru diterima dari agensi kerajaan. Dana yang diberikan sangat besar, dan aku boleh berbelanja sesuka hatiku. Tetapi aku hanya pergi berseorangan tanpa ditemani oleh sesiapa pun.

Sedang aku mencari, tiba-tiba aku terpandang dua orang yang berpakaian seperti rakyat Malaysia. Dan aku terus menuju ke arah mereka untuk bertanyakan sesuatu. Ternyata sangkaanku tepat, dan mereka adalah antara beberapa orang pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di UK. Aku meminta mereka menunjukkan jalan-jalan di kota London dan sebelum itu, aku mengajak mereka minum di salah satu kedai di lapangan terbang. Aku belanja.

Sedang kami berborak-borak, dengan pemandangan menghadap ke arah landasan kapal terbang, tiba-tiba kami terlihat dua buah kapal terbang sedang berselisihan. Kedua-duanya terbang agak rendah, dan lebih mengagumkan, kedua-duanya tidak mempunyai sayap. Aku menjangkakan kedua-duanya akan terhempas. Dan ternyata sekali lagi jangkaanku tepat. Kedua-duanya terseret di atas landasan dana salah satunya menuju ke tempat kami sedang minum.

Kami tergamam, tidak tahu kemana ingin dituju. Dan sekelip mata, meja di sebelah kami telah hilang dilanggar oleh salah satu pesawat. Aku bingkas bangun dan berlari menuju ke arah pesawat tadi. Aku berusaha untuk mengeluarkan beberapa penumpang yang masih hidup. Aku nampak semua penumpang masih hidup, termasuk dua orang pilot, tetapi salah seorang telah pengsan. Aku mengeluarkan dahulu pilot yang pengsan, dan membawanya jauh dari kawasan kejadian.

Aku sempat berpusing mengelilingi pesawat itu untuk melihat jika terjadi kebocoran tangki minyak. Segala-galanya selamat dan semua mangsa berjaya dikeluarkan, tanpa ada mangsa yang mati. Aku melihat dari jauh pesawat yang satu lagi. Dan keadaannya sama. Aku bersyukur kerana kesemuanya selamat. Aku masih menunggu pihak berkuasa untuk tiba, tetapi tidak ada satu pun yang datang. Aku menunggu dan terus menunggu.

Tiba-tiba, kaki kananku terasa berat. Aku cuba melihat, dan kedengaranlah titik-titik air di bumbung. Aku bukakan mataku, dan terasa silau dek sinar mentari. Aku bangun, rupanya aku bermimpi. Hujan panas diluar rumah. Patutlah. Tidak logik cerita ini. Dan aku baring semula untuk sambung tidurku di hari Sabtu.


NotaKaki : Mimpi ini berlaku pada pagi tadi. Pada mulanya aku sangat takut, tetapi bila terjaga dari tidur, baru aku perasan yang itu rupanya mainan tidur. Harap-harap dapat pergi UK satu masa nanti.

~Branco~

[KLM Menggamit] Aku dan Program Lambaian


0

Berikut adalah beberapa program yang aku sertai semasa menjadi ahli Lambaian. Mungkin ada antaranya yang aku sendiri sudah lupa.

Kem Pemantapan KLM - Hutan Rekreasi De' Bana Serting 2001

Program Sentuhan UTM - SMT Perdagangan JB 2001

Program Khidmat Masyarakat dan Pendidikan Jelapang Padi - Kuala Nerang 2001

Program Jana Jati Diri - KTC UTM 2002

Program Mesra 1 - Tadika Ihsan UTM 2002

Program Mesra 2 - 2003

Program Mesra 4 - 2005

Dekat Padamu 1 - Hospital Sultanah Aminah

Program KP SMK Dato' Penggawa Barat (Tak ingat nama program)
Program KP SMT Tanjung Puteri (Pun tak ingat nama program)
Mungkin yang lain-lain ada tapi tak ingat. Al-maklumlah dah lama tak ikuti perkembangan selepas berpindah ke kolej lain. Tapi aku sangat bertuah kerana dapat menjadi salah seorang ahli KLM. Kelab yang banyak mengajar aku menjadi seorang yang tabah dengan dugaan, bersabar dengan berbagai kerenah, dan menganggap ahli kelab seperti keluarga sendiri.
Terima kasih kepada yang membimbing aku selama aku di KLM, dan tidak lupa juga keluarga Branco yang dicadangkan namanya oleh Abg Wazir. Sampai sekarang aku masih menggunakan nama ini. Thanks to all.
~Branco~

Monyet-monyet yang Kurang Ajar!!


0

Ceritanya begini, hari Sabtu yang lepas, aku bersama family aku ngelencer ke Pahang. Atau lebih spesifiknya jalan-jalan ke Felda Sungai Kemahal, Triang. Perjalanan bermula pada jam 0930. Selesai semua urusan di sana, kami pun bertolak balik jam 1430 dan tiba di rumah lebih kurang jam 1700.

Hari itu aku membawa kereta kakak yang lebih besar dan lebih laju. Keretaku diparkir di bawah garaj rumah. Keadaan kereta berkunci. Aku tinggalkan tanpa mengesyaki apa-apa kejadian yang tidak diingini. Dan apabila aku tiba di rumah, seperti tiada apa yang berlaku. Aku terus menuju ke bilik dan tidur dengan nyenyak sehingga mak memanggilku.

Katanya keretaku telah dikasari oleh sekumpulan monyet yang pada kebiasaannya berlegar-legar di belakang rumah. Aku terus melihat apa yang terjadi, dan aku amat terperanjat kerana keretaku telah menjadi seperti sebuah traktor binaan. Amat kotor sekali dengan kesan-kesan lumpur di serata tubuh badan kereta. Dan yang paling tidak dapat aku bersabar, monyet-monyet itu telah meninggalkan sisa makanan yang telah dicerna di atas bumbung kereta.

Dan keesokan harinya, aku menghabiskan selama 2 jam untuk mencuci segala kekotoran. Sangat penat dan sangat marah kepada monyet-monyet. Segala sumpah seranah aku keluarkan. Kalau aku jumpa monyet-monyet itu, akan aku hambat sampai mereka tidak berani datang lagi. Aku dah hilang sabar!!

Bak kata Sang Kancil, monyet sangat nakal. Lada pun dia nak makan macam pisang. Bodoh punya monyet!!

~Branco~