Hari ini ke United Kingdom
Julai 11, 2009
14:23
0
Perjalanan hari itu sangat indah. Aku tiba di Lapangan Terbang Heathrow dengan senyuman manis. Perjalanan di dalam pesawat Airbus Malaysia Airlines sangat mengujakan. Layanan yang diberikan oleh pramugari-pramugari sangat dihargai. Patutlah Malaysia Airlines pernah mendapat anugerah hospitaliti satu masa dahulu.
Setibanya di kawasan pemeriksaan, aku melontarkan senyuman kepada setiap pekerja di situ. Aku melepasi kawasan pemeriksaan dengan mudah, tanpa pemeriksaan yang rapi, tidak perlu membuka seluruh pakaianku. Dan setiap pertanyaan dijawab dengan mudah. Aku terus menuju ke pintu ketibaan dengan harapan dapat bertemu sesiapa yang boleh menjadi pemandu pelancongku. Aku melalui beberapa kedai bebas cukai, hanya sempat melihat, kerana tugasku lebih penting di kota London.
Perjalananku kali ini atas sebab perniagaan. Orang atasanku menugaskan aku untuk mencari barang-barang untuk syarikatku menjalankan projek yang baru diterima dari agensi kerajaan. Dana yang diberikan sangat besar, dan aku boleh berbelanja sesuka hatiku. Tetapi aku hanya pergi berseorangan tanpa ditemani oleh sesiapa pun.
Sedang aku mencari, tiba-tiba aku terpandang dua orang yang berpakaian seperti rakyat Malaysia. Dan aku terus menuju ke arah mereka untuk bertanyakan sesuatu. Ternyata sangkaanku tepat, dan mereka adalah antara beberapa orang pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di UK. Aku meminta mereka menunjukkan jalan-jalan di kota London dan sebelum itu, aku mengajak mereka minum di salah satu kedai di lapangan terbang. Aku belanja.
Sedang kami berborak-borak, dengan pemandangan menghadap ke arah landasan kapal terbang, tiba-tiba kami terlihat dua buah kapal terbang sedang berselisihan. Kedua-duanya terbang agak rendah, dan lebih mengagumkan, kedua-duanya tidak mempunyai sayap. Aku menjangkakan kedua-duanya akan terhempas. Dan ternyata sekali lagi jangkaanku tepat. Kedua-duanya terseret di atas landasan dana salah satunya menuju ke tempat kami sedang minum.
Kami tergamam, tidak tahu kemana ingin dituju. Dan sekelip mata, meja di sebelah kami telah hilang dilanggar oleh salah satu pesawat. Aku bingkas bangun dan berlari menuju ke arah pesawat tadi. Aku berusaha untuk mengeluarkan beberapa penumpang yang masih hidup. Aku nampak semua penumpang masih hidup, termasuk dua orang pilot, tetapi salah seorang telah pengsan. Aku mengeluarkan dahulu pilot yang pengsan, dan membawanya jauh dari kawasan kejadian.
Aku sempat berpusing mengelilingi pesawat itu untuk melihat jika terjadi kebocoran tangki minyak. Segala-galanya selamat dan semua mangsa berjaya dikeluarkan, tanpa ada mangsa yang mati. Aku melihat dari jauh pesawat yang satu lagi. Dan keadaannya sama. Aku bersyukur kerana kesemuanya selamat. Aku masih menunggu pihak berkuasa untuk tiba, tetapi tidak ada satu pun yang datang. Aku menunggu dan terus menunggu.
Tiba-tiba, kaki kananku terasa berat. Aku cuba melihat, dan kedengaranlah titik-titik air di bumbung. Aku bukakan mataku, dan terasa silau dek sinar mentari. Aku bangun, rupanya aku bermimpi. Hujan panas diluar rumah. Patutlah. Tidak logik cerita ini. Dan aku baring semula untuk sambung tidurku di hari Sabtu.
NotaKaki : Mimpi ini berlaku pada pagi tadi. Pada mulanya aku sangat takut, tetapi bila terjaga dari tidur, baru aku perasan yang itu rupanya mainan tidur. Harap-harap dapat pergi UK satu masa nanti.
~Branco~
0 Response to "Hari ini ke United Kingdom"
Catat Ulasan